Lanai Kijang

Lanai Kijang

Sunday, August 14, 2022

Sambung nyawa my kuali..

entah kemana lah agaknya kerajinan satu masa dulu yang tiap hari mengupdate dapo maya ni... semuanya dah sesat dan tak jumpa jalan pulang dah.. dan akhirnya ni lah nasib my kuali... hidup segan mati tak mahu, memang sayang lah kalau nak biarkan mati gitu jer kan.. so merajinkan diri mengupdate dengan hidangan lunch simple kami yang dah jadi baja dah pun... nasi goreng, daging bakar, fries dan timun jepun... cicah dengan sos cili thai perahkan asam limau dan bubuh sedikit daun ketumbar...

lepas ni harap adalah nampaklah jalan pulangnya... Aamiin
 

Sunday, August 7, 2022

Sup tulang

 Asalamualaikum dan salam sehajtera buat yang masih sudi nak jenguk dapo maya kak rose ni... berhabuk bersawang dek kerajinan yang dah menghilang tenggelam tak nak timbul2 dah.. sup ni kak rose masak lepas dari balik kampung semasa raya haji ari tu... nak tepek kat sini buat kenamgan kami adik beradik sembelih korban kat kampung... so amik lah sket tulang dan buat sup ni..boleh makan dengan rasa tak bersalah sebab kak rose dah buangkan segala lemak2 tu... cara nak buang lemak tu, lepas rebus tu kak rose keluarkan semua tulang dan asingkan dulu, biarkan kuah sejuk dan lemak akan membeku dipermukaan periuk, maka mudah lah nak buangkan nya. lepas tu baru lah sambung memasak sup tu.

Bahan-bahan
1 kg tulang berdaging
2 s/b minyak makan
2 s/b rempah sup/kurma [bancuh dgn air sikit] 
4 biji kentang [belah 4]
1 batang lobak merah [potong kecil]
1 pokok daun sup dan daun bawang [hiriskan]
1 batang serai [ketuk]

garam
bawang goreng
air secukupnya 


  Bahan tumbuk
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 sm halia
1 s/k lada hitam 


Bahan rempah tumis
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Cara membuat
 
1. Tulang dipotongkan kecil. Basuh dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk dan rempah tumis.
3. Masukkan rempah sup/kurma, tulang, serai dan kacau rata.
4. Rebuskan sehingga daging di tulang betul-betul lembut. (30 minits, guna pressure cooker)
5. Masukkan kentang, lobak merah, air dan garam. Biarkan mendideh.
6. Biarkan reneh sehingga kentang dan lobak merah lembut.
7. Hidangkan dalam mangkuk besar. Taburkan bawang goreng dan daun sup & daun bawang.

 
ni lah lemak yang dah beku dipermukaan piok tu... cedok dan buangkan.. dan boleh lah teruskan memasak sup tu dan makan dengan aman damai, tak perlu risau lemak2 nak tumpang bertepek kan..

Monday, July 18, 2022

Daging bakar harimau menangis

ya, memang mau menangis bila makan daging ni.. sebabnya makan tak mau berenti pulaknya. sedap sangat lah tu kan. daging fresh dari kampung yang kami adik beradik buat korban masa raya aidil adha tempoh hari... resepinya kak rose copy dari majalah rasa...

Bahan2:

  • Daging secukupnya – bersihkan

Bahan perap:

  • 3 ulas bawang putih – tumbuk halus
  • 1 sudu teh lada hitam – tumbuk halus
  • 4 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan sos ikan
  • 2 sudu makan kicap manis
  • 3 sudu makan gula perang 
  • Garam secukup rasa


1. Bersihan daging dan toskan airnya.

2. Masukkan bahan perapan ke dalam bekas daging dan lumur rata. Perap semalaman.

3. Panaskan ketuhar pada suhu 180C dan bakar daging selama 30 minit atau hingga masak.

4. Bila masak, rehatkan daging seketika sebelum dihiris.

Cara kak rose: hiris nipis2 daging dan gaulkan dengan bahan perapan lebih kurang sejam jer dan bakar dalam pan saja. cepat dan mudah kerja!

sos pencicah ni kak rose guna thai cili sos, perahkan sebiji asam limau dan taburkan daun ketumbar.  bole tambahkan cili api untuk lebih rasa kalau nak rasa yang lebih pedas.
 

Thursday, July 7, 2022

Kuey teow goreng sedap

sesekali teringin nak makan kuey teow goreng yang dimasak sendiri... ya lah kalau beli memang ada saja yang tak kena pada tekak ni, so kalau buat sendiri ni tak de lah nak komplen lagi kan... malah makan bertambah2 pulaknya. jom tengok resepi mudah ni..


Bahan-bahan:
3 bungkus kuey teow 
7 ulas bawang putih - tumbuk kasar.
1 sudu besar cili kering kisar
Udang secukupnya
1 mangkuk taugeh
1 ikat daun kucai
Garam

Bahan sos:
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap mee
2-3 sudu besar kicap manis

Cara cara:
Kuey teow dicuci dan asingkan satu persatu lapis supaya ianya senang dikacau rata. 

Panaskan minyak kemudian tumis bawang putih sehingga wangi. 
Kemudian masukkan cili kisar. 
Tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak.   
Tuang sedikit air dan biarkan sehingga masak dan terbit minyak bagi memastikan cili benar benar garing. 
 Masukkan udang dan kacau rata. 
Kemudian masukkan semua bahan-bahan sos dan kicap. Kacau rata dan sesuaikan rasa. 
Kemudian masukkan kuey teow dan gaul rata.  
Ketepikan sedikit kuey teow, tuang telur dan biarkan sehingga sedikit mengeras, baru dikacau supaya telur berketul kasar. Kacau kuey teow dengan telur. 

Akhir sekali, masukkan daun kucai dan taugeh. Kacau rata. Boleh tambah kicap jika mahu warna yang lebih gelap.


 

Wednesday, July 6, 2022

Tuesday, July 5, 2022

Pucuk paku masak lemak ciliapi dengan udang


Bahan-bahan:

  • Cili padi – 8 tangkai (ikut lah kepedasan memasing)*
  • Bawang merah – 5 ulas*
  • Kunyit hidup – 2 inci *
  • Serai – 2 batang (diketuk)
  • Udang secukupnya
  • Santan – 1 1/2 cawan
  • Asam keping – 2 
  • Pucuk paku

* Ditumbuk halus


Cara-cara:

  1. Masukkan bahan yang ditumbuk ke dalam periuk. Masak sehingga naik bau.
  2. Masukkan udang. Tambah sedikit air.
  3. Perasakan dengan asam keping dan garam.
  4. Kemudian, masukkan santan. Masak sehingga mendidih.
  5. Masukkan pucuk paku. Masak sekejap sahaja (lebih kurang 5minit). Jangan lama sangat.
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

Monday, July 4, 2022

Brokoli bawang putih

Bahan-bahan:

500 gm broccoli
5 ulas bawang putih ~ dipotong dadu
3 sudu sos tiram
1 camca teh tepung jagung ~ bancuh dengan sedikit air
1/2 camca lada sulah
Air ais ~ untuk merendam broccoli


GaramCara penyediaan:
1. Celur broccoli selama 2-3 minit dalam air mendidih. Kemudian sejatkan dan rendamkan ke dalam air ais, 2-3 minit dan toskan.
3. Tumiskan bawang putih dan goreng sehingga garing dan angkat.
4. Masukkan sos tiram dan air bancuhan tepung jagung ke dalam kuali. Apabila kuah telah mendidih, masukkan broccoli dan kacau seketika. Letaklah lada sulah dan garam secukup rasa.
5. Angkat ke dalam mangkuk dan taburkan dengan bawang putih yang telah digoreng tadi. Sedia dihidang.

sayur pebret sepanjang masa.... mudah dimasak dan sedap dimakan.