Thursday, June 30, 2022

Lempeng nasi

 Setengah tahun 2022 dah sampai ke penghujungnya, semuga hari hari yang mendatang dan seterusnya baik2 saja untuk kita semua mengharunginya...

bila kehabisan roti dan tak de kerajinan nak keluar g beli, makanya tukang dapo pun kenalah merajinkan diri buat something for breakfast... kebetulan ada pulak nasi belen semalam, jadinya kita pun dummm lah dalam blender dan jadi lah batter untuk lempeng sedap nih..jom tengok resepinya..

Bahan-bahan

  • 2 cawan nasi sejuk (nasi semalam)
  • 3 cawan air
  • 1 1/4 cawan tepung gandum
  • Garam secukup rasa
  • 2 camca besar minyak masak @ minyak zaitun
  • Kuah kari atau sambal tumis sebagai pencicah (kak rose gandingkan dengan serunding daging)

Cara-cara

  • Kisar nasi tadi bersama air, kemudian masukkan tepung, garam secukup rasa dan minyak masak, kisar lagi hingga rata dan sebati. Tuang dalam bekas dan biarkan sekejap.
  • Panaskan non-stick pan, lenser dengan sedikit minyak. Ambil 1/3 cawan adunan lempeng, tuang ditengah2 pan, tuang perlahan dan biar ia merata sendiri. Masak dengan api sederhana hingga permukaan lempeng nampak pucat dan berlobang2.
  • Berhati2 terbalikkan dan masak sekejap lagi hingga perang keemasan. Angkat dan laku kaedah sama untuk baki adunan, hingga siap

Wednesday, June 29, 2022

Nasi ayam hainan a la tcrs

 nasi ayam kesukaan cucu, hari2 nak makan nasi ayam ni... so mamanek buat lah sendiri jer. cucu yang nak makan, tapi mamanek dan atok yang banyak tumpang sekaki lah...

kaka rose amik resepi dari fb, dan ikut bahan sebagai rujukkan... kalau boleh nak jugak ikut sebiji macam resepi tu, tapi apa kan daya ayam yang ada dalam stok cuma lah drummet ni jer.. so kita buat lah cara kita sendiri, adjust ikut lah cita rasa kita yang nak makan. jom lah tengok resepi yang kak rose copy tu... nampak macam panjang berjela resepinya kan...tapi sos halia bawang putih tu kak rose tak buat. kalau makan kat tcrs pun menda tu kak rose tak makan pun.. terima kasih lah pada yang sudi kongsikan resepinya ya..

Bahan Untuk Masak Nasi:

  • 2 cawan beras wangi
  • 2 cawan air rebusan ayam
  • 60 gram kulit ayam
  • 2 cm halia – ditumbuk
  • 2 biji bawang putih – dicincang halus
  • 1/2 biji bawang besar holland – dipotong dadu kecil
  • 1 sudu besar minyak
  • 1 sudu kecil butter
  • 2 helai daun pandan
  • Garam secukupnya

Bahan Untuk Masak Ayam:

  • 1 ekor ayam
  • 2 batang daun bawang – potong dalam 1 inci
  • 6 cm halia – dihiris
  • 6 ulas bawang putih – diketuk
  • Garam
  • Air secukupnya untuk rebus ayam
  • 1/2 sudu kecil minyak bijan

Bahan Untuk Cili Sos:

  • 2 sudu besar cuka
  • 4 sudu besar air rebusan ayam
  • 5 biji cili merah
  • 2 sudu kecil gula
  • 1/4 sudu kecil garam
  • 1 inci halia
  • 2 ulas bawang putih

Bahan Untuk Sos Halia Bawang Putih:

  • 4 sudu besar minyak masak
  • 4 cm halia – ditumbuk halus
  • 4 ulas bawang putih – ditumbuk halus
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil cuka

Bahan Untuk Sos Kicap Ayam:

  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • 5 sudu besar kicap cair
  • 1 1/2 sudu besar gula
  • 3 sudu besar air rebusan ayam


Cara Masak Ayam:

1. Bersihkan ayam dengan menggosok kulitnya dengan garam luar dan dalam bagi menghilangkan sebarang kekotoran. Bilas. Lumurkan garam luar dan dalam.

2. Masukkan halia, bawang putih dan daun bawang ke dalam ayam, tinggalkan sedikit untuk masukkan ke dalam air rebusan.

3. Didihkan air dalam periuk bersama dengan lebihan daun bawang, halia, bawang putih sampai mendidih, guna api besar. Pastikan air cukup-cukup untuk tenggelamkan ayam.

4. Bila sudah mendidih masukkan ayam, masa ni korang perlahankan api. Tutup dan biarkan mendidih perlahan selama 30 minit utk ayam besar, ayam yang kecik lebih kurang 20 minit. Cucuk bahagian peha untuk melihat sama ada ayam sudah masak.

5. Sediakan satu mangkuk yang berisi ais. Masukkan ayam ke dalam mangkuk. Tujuannya untuk hentikan proses ayam tu masak. Inilah rahsia untuk dapatkan tekstur ayam lembut dan moist. Buang ler segala halia, bawang putih dan daun bawang yang disumbat dalam ayam tadi.

6. Selepas ayam sudah sejuk. Keringkan permukaan luar ayam. Kemudian lumurkan dengan minyak bijan. Sebelum dihidang, tuang sos kicap ayam ke atas ayam yang dipotong.


Cara Masak Nasi:

1. Semasa bersihkan ayam bahagian lemak ayam jangan dibuang. Simpan untuk masak nasi.

2. Panaskan kuali, masukkan lemak ayam biarkan sehingga keluar minyak. Bila minyak dari lemak ayam sudah keluar. Keluarkan kulit ayam tadi. Minyak dari kulit ayam akan berikan rasa yang sedap dan aroma yang harum pada nasi.

3. Masukkan minyak masak dan butter. Tumiskan halia, bawang putih, bawang besar sehingga wangi. Masukkan beras dan daun pandan dan goreng seketika beras tu. Masukan 2 cawan air rebusan ayam.

4. Kemudian, masaklah dalam rice cooker. Kalau rasa air rebusan kurang masin, boleh tambahkan garam.

Cara Buat Cili Sos: Kisar semua bahan sehingga halus. Sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.

Cara Buat Sos Halia Bawang Putih: Panaskan minyak. Pastikan minyak betul-betul panas. Tutup api masukkan halia dan bawang putih. Kacaukan seketika. Masukkan cuka dan garam. Siap.

Cara Buat Sos Kicap Ayam: Campurkan semua bahan dan kacau sehingga gula hancur.

Cara Buat Sup: Panaskan air rebusan dan masukkan garam dan masukkan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan.

 

Sunday, June 26, 2022

Masak lemak putih pucuk ubi

 

sayur ni kak rose masak masa balik kampung tempoh hari... pucuk ubi fresh dari kebun memang segar dan lembut sangat bila dimasak lemak macam ni... sedap sangat, dapat pulak gandingan ikan masin pebret kak rose dan nasi hangat2...  memang menambah lah jawapnya... kalau kat kl ni memang susah lah nak dapat pucuk ubi yang muda semuanya...banyak daun yang dah tua dan keras, macam nak bagi makan kambing jer layaknya kan. oopppssss! jom lah masak...

Bahan-Bahan:

1 ikat pucuk ubi
3 cawan santan - boleh tambah
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
segenggam udang kering
1 batang serai - di titik


Cara-cara:

Ambil semua pucuk ubi dan di rebus sampai empuk/layu kemudian ditos dan ketepikan dulu , buang semua air rebusan tadi .
Bawang merah, bawang putih dan udang kering ditumbuk lumat . Masukkan santan , semua bawang , serai  ke dalam periuk . Biarkan sampai kuah mendidih dan boleh la di masukkan semua pucuk ubi  dan garam secukup rasa , sekali sekala kacau sampai semua sayur sebati dengan kuah dan masak .
ikan masin sepat gandingan masak lemak putih pucuk ubi kak rose tu... tapi Ya Allah, sungguh lah harga kayangan ikan masin ni - rm55/kg. bertabah lah kan... ikan basah dan masin pun dah harga kayangan semuanya! nak makan kena lah jugak beli kan...
 

Saturday, June 25, 2022

Tempe goreng

 

sapa suka tempe goreng macam ni kita boleh jadi geng lah.. kak rose memang suka sangat lah makan tempe goreng macam ni, tapi tak leh nak buat selalu sbb nya dalam rumah ni kak rose sorang jer yang makan... yang lain tu tak reti nak makan kesukaan jawa nih! so kalau buat pun setakat sekeping tempeh untuk hilangkan kempunan tu.. jom kak rose kongsikan resepi nak goreng tempe dan sambal kicap yang sedap ni..

Bahan-bahan

  • 5 keping tempe
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar ketumbar
  • 3 ulas bawang putih
  • serbuk kunyit
  • sedikit garam dan air
  • BHN UTK SAMBAL KICAP
  • segengam chili padi (ikutlah kepedasan memasing ya)
  • 2 ulas bawang putih
  • gula
  • kicap manis

Cara-cara

  1. Potong serong tempe nipis2 supaya rangup.
  2. Tumbuk bwg putih n ketumbar.
  3. Campurkan tepung dengan bhn tumbuk dan serbuk kunyit. Letak garam skit. Then masukkan air sedikit demi sedikit sehingga cair macam tepung nk goreng pisang.
  4. Panaskan minyak, Dah panas bleh la goreng hingga kekuningan.
  5. Utk sambal kicap - tumbuk chili,bwg putih, dan gula. Then masukkan dlm mangkuk dan bubuhlah kicap. Dah siap..bleh cicah ngan tempe goreng td...

Friday, June 24, 2022

Kerabu mangga w bite size ayam

 Asalamualakum dan salam jumaat penghulu segala hari... chakkk!!! 😍😍

ade mood nak mengupdate dapo maya kak rose yang dah macam hidup segan mati tak mahu ni... tapi tu lah sayang pulak kalau nak biarkan mati macam tu jer kan.. so meh la kita tepekkan apa yang ada dalam folder ni kat sini... kerabu mangga with bite size ayam. ayam tu actually kak rose gorengkan jer pop-corn chicken store bought punya. senang kerja kan.
mangga putik tu pulak sagat jer dan tambahkan sedikit carrot yang juga disagat untuk dapat combinasi kaler cantik tu.. buat lah kerabu macam biasa kita buat tu dan masa nak hidang tu tambahkan gorengan pop-corn chicken atas dia dan jugak taburkan kacang goreng rangup krup krap tu. sedap sangat untuk meratah... dan lagi sedap kalau dihidangkan segera lepas buat tu, semuanya rangup lagi sebab kalau lambat nanti ayam dan kacang akan jadi lemau.
 

Friday, June 17, 2022

Jom makan sayur...

 sayur sayur simple macam ni emang kesukaan kami dirumah ni lah.. dan yang pastinya mudah nak sediakan... ngam sangat dengan tuan tanag yang tak berapa rajin nak masak nih...

kailan dengan sos tiram

cabbage sprouts dengan pati ikan bilis

kangkung dengan udang kering

brokoli bawang putih

baby bokchoy

emak pakchoy dengan bawang putih dan sos tiram

kailan ikan masin

cabbage sprouts with anchovies cube.
 
stir fry baby green cabbage

Wednesday, June 15, 2022

Masak lemak ciliapi jantung pisang+udang

Sapa suka lauk kampung macam ni kita boleh geng. masa balik dari kampung ari tu, adik ada bekalkan jantung pisang ni... fresh dari kebun dia. memang sedap sangat dapat makan gulai jantung pisang macam ni apa lagi kalau digandingkan dengan ikan masin goreng kan.. memang pebret kak rose sangat lah. dah asingkan bunga tu nak goreng celup tepung macam tunjuk kat fb tu, tapi tak kesampaian la pulak.. simpan jer tapi tak terbuat, rosak jer jadinya.. jom masak...

  1. 1 biji jantung pisang
  2. Semangkuk air
  3. 3 keping asam keping (untuk rendam jantung pisang)
  4. Garam secukup rasa
  5.  Cili api... ikut la kepedasan memasing.. kak rose buh 2 biji jer
  6. 2 inci kunyit hidup
  7. 1 kotak santan kara
  8. 8 ekor udang
  9.  2 keping asam keping untuk memasak
  10. segenggam udang kering - diblend/tumbuk

cara-cara

  1.   Bersihkan jantung pisang. Kupas sampai dapat kulit jantung yang kuning susu. Potong kecil jantung pisang.
  2.   Ambil air, masukkan asam keping dan garam. Rendam jantung pisang dalam air ini. toskan dan rebus sekejap hingga lembut
  3.   Ambil cili api dan kunyit hidup. Tumbuk halus.
  4.   Dalam kuali, masukkan santan, udang kering, asam keping dan pes cili api serta kunyit hidup. Biarkan mendidih.
  5.  Masukkan jantung pisang  
  6.  Masukkan pula udang tadi. Kacau seketika. Masukkan garam dan biarkan seketika sebelum matikan api.

 

Sunday, June 12, 2022

Mee hoon goreng singapura

 

resepi mee hoon goreng singapura yang kak rose copy dari fb, terima kasih yang sudi kongsikan resepinya yang simple dan tak banyak bahannya... sebenarnya kalau tengok banyak resepi lainnya memang ada banyak bahan yang boleh dimasukkan dalam mee ini. tapi dengan bahan yang cuma sedikit ni pun dah cukup sedap apa lagi bila digandingkan dengan sambal kicap tu. tapi kak rose adjust sikit resepi ni dengan tambahkan sedikit air sebelum masukkan mee tu. so sedang elok jer mee tu lembut nya.

Bahan utama:

  • Sebungkus bihun direndam lembut.

Bahan A:

  • 3-4 ulas bawang merah
  • 5-6 ulas bawang putih
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 2 sudu makan udang kering
  • 2 inci halia

Nota: Kisar kesemua bahan A


Bahan rencah:

  • Udang kecil 250g (kopek kulit udang)
  • Seikat kucai dipotong dalm 4cm panjang.
  • Lobak sebatang dihiris halus memanjang,

Cara – cara memasak:

  1. Tumis bahan kisaran hingga halus sehingga naik bau.
  2. Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa secukupnya.
  3. Kemudian masukkan isi udang.
  4. Selepas itu masukkan bihun yang telah direndam lembut.
  5. Akhir sekali masukkan sayur-sayuran dan potongan cili merah sebagai hiasan.
  6. Siap dan sedia untuk dimakan!

Monday, June 6, 2022

Bubur Krong Krang

 Asalamualaikum dan selamat bertemu kembali... ah!!! gitu mukadimahnya, maklumlah dah bersawang sangat dapo kak rose ni... fuh fuhhh... nak tiup jer sawang tu pun dah tak mo g dah segala habuk yang bertepek. kena lah cari vacuum baru ada bersih sikit... dan harap vitamin r tu akan datang baliklah..

bubur ni kak rose buat kat kampung minggu lepas... menunaikan anak kawan yang mengidam nak makan bubur ni. walaupun tak rajin tapi jadi jugak lah bubur kaler kaler sedap nih. kenyal2 gituh! resepinya kak rose copy dari fb, terima kasih pada yang kongsikan ya..

Bubur Krong krang
Bahan:
👉1 cawan tepung ubi kayu
👉1/2 cawan air panas mendidih
kuantiti di atas ditambah sehingga adunan jadi kenyal dan boleh ditekan pada acuan.
Cara:
➡️Masukkan tepung dalam mangkuk menguli.
➡️Masukkan air panas mendidih, kacau sebati. ➡️Adunan akan melekat2. Tambahkan air atau tepung ubi hingga mendapat adunan yang kenyal.
➡️Potong kecil adunan untuk ditekan menggunakan acuan kuih siput.
➡️Bila habis diterap, rebus dalam air panas.
➡️Toskan bila sudah terapung dan masuk dalam air sejuk.
➡️Sedia untuk digunakan.
Bahan Kuah: (Untuk 2 adunan Krong Krang)
👉5 cawan santan
👉3/4 cawan gula
👉1 sudu kecil garam
👉1 sudu besar bijan yang telah digoreng tanpa minyak (optional)
👉1 cawan isi kelapa muda (optional) Kak rose tak de isi kelapa tu, cuma tambahkan potongan nangka

Cara:
➡️Masukkan santan bersama gula dan garam.
➡️Kacau hingga sekali mendidih sahaja. Sehingga gula telah larut.
➡️Masukkan isi kelapa.(kak rose masukkan potongan nangka tu)
➡️Masukkan Krong Krang.
➡️Tabur bijan. Siap..
makan sejuk sejuk memang ngam sangat nih...